Friday, August 20, 2010

Musibah Menjelang Perayaan

10 hari genap sudah kita berpuasa andaikan hari ini berjaya disempurnakan. Hanya tinggal lebih kurang 19 atau 20 hari lagi menjelangnya Aidil Fitri.

Sudah tentu seperti kebiasaannya, tidak lengkap perayaan jika kita tidak pulang ke kampung. Kampung halaman di mana ibu-bapa, sanak saudara dan rakan taulan yang lama sedia menyambut kepulangan kita di kotaraya. Bila di sebut pasal balik kampung sudah tentulah kita dah merancang pengangkutan yang sesuai untuk kita ke sana. Ada yang menggunakan pengangkutan udara, laut dan majoriti kita menggunakan jalan raya sebagai jalan perhubungan utama.


PDRM akan melancarkan Ops Sikap yang akan bermula pada 1 September depan bagi menyedarkan pengguna jalan-raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu-lintas. Ops sikap juga secara tak langsung mengingatkan kita supaya tidak termasuk dalam senarai angka korban yang sentiasa bertambah bila tiba musim perayaan.

Bercakap mengenai jalan raya, kadang-kadang menjadi igauan ngeri kepada kita bila mendengar berita kemalangan yang meragut nyawa di sana-sini. Boleh dikatakan saban hari kita dihidangkan dengan berita petaka ini. Baru-baru ini empat sekeluarga di Negeri Sembilan maut sewaktu membuat pusingan U apabila kenderaan mereka dirempuh sebuah van. Sehari kemudian 3 orang termasuk sepasang suami isteri terbunuh apabila tayar kereta mereka meletup dan merempuh sebuah lori di Teluk Intan, Perak. Pada hari yang sama juga seorang wanita dan ibunya maut digilis sebuah lori ketika menghantar juadah di Jasin Melaka, mujurlah bayi beliau terselamat apabila tercampak dari bakul motorsikal tersebut.

Apa nak di kata, itulah antara berita sedih sepanjang Ramadhan ini. Siapa pula yang menjadi mangsa seterusnya? Menjelang Aidil Fitri, sudah tentu kita tidak mahu melihat sanak-saudara kita di kampung yang meratapi kematian orang tersayang. Memang benar ajal dan maut sudah ditentukan oleh yang Maha Esa, tapi kita sebagai manusia perlulah mengguna segenap ruang hidup yang diberikan agar dipenuhi dengan kemanisan dan keceriaan. Selagi sikap pemandu tidak berubah selagi itulah kemalangan akan terus berlaku. Tidak menjadi keaiban kalau kita memandu ikut peraturan, apa yang nak dikejar sehingga sanggup memecut laju melebihi had kelajuan, atau pun sikap kita yang ingin menunjuk-nunjuk dengan keupayaan kereta kita. Ada juga yang memarahi pemandu lain yang berhati-hati ketika memandu kononnya mereka lembap, tidak cekap dan sebagainya hingga sanggup menunjukkan isyarat tangan yang agak keterlaluan apabila berjaya di pintas. Tidak kurang juga yang memotong barisan kenderaan lain ketika berlaku kesesakan, tidakkah mereka sedar tindakan mereka hanya memburukkan lagi keadaan dan juga kemungkinan berlaku kemalangan.


Berita semalam, pihak Polis mungkin membekukan semua cuti anggotanya di hari raya ini. Saya amat setuju dan wajar pihak polis menambah anggotanya di musim cuti dengan menempatkan anggota di tempat-tempat yang kerap berlaku kemalangan kerana sudah menjadi lumrah pemandu kita akan memandu dengan sopan bila nampak pihak polis di sesuatu tempat tersebut. Semuga musim lebaran kali-ini kita tidak mendengar lagi pertambahan angka kematian akibat kemalangan jalan raya.


No comments: